KIULU
Kiulu merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di Pantai Barat Sabah, Malaysia, di bawah daerah Tuaran. Daerah Kiulu dikenali unik dengan keindahan semula jadi iaitu flora dan fauna ditambah lagi terdapat sungai yang menelusuri sepanjang perjalanan dari pekan tersebut menuju ke Pekan Tamparuli. Kawasan kiulu ini menjadi pusat pelancongan dan terkenal sebagai destinasi pelancongan di daerah Tuaran yang menyediakan berbagai tempat menarik, serta pelbagai jenis aktiviti yang boleh dilakukan. Pekan Kiulu terletak 47 kilometer dari bandar Kota Kinabalu dan 23 kilometer dari pekan Tuaran. Ia telah berdiri sejak zaman kolonial dan juga berfungsi sebagai mukim di daerah Tuaran, serta saat ini telah dinaiktaraf menjadi daerah kecil kedua selepas Tamparuli, iaitu pekan utama yang berdekatan.
ASAL-USUL
Menurut sumber daripada masyarakat di Kiulu, nama Kiulu diambil dari buluh kecil yang dikenali sebagai Tulu yang tumbuh di tebing-tebing sungai. Kawasan Kiulu pada mulanya tidak memiliki nama yang spesifik, namun terdapat banyak pokok Tulu yang tumbuh di kawasan tebing sungai sehingga masyarakat yang meneroka kawasan tersebut menyebutnya Kitulu yang bermaksud kawasan yang mempunyai pokok Tulu. Seiring berjalannya waktu, istilah Kitulu mengalami perubahan menjadi Kiulu, yang akhirnya menjadi nama rasmi Pekan Kiulu.
DAERAH KECIL KIULU
Permohonan untuk menaiktarafkan Kiulu kepada sebuah daerah kecil sudah lama dicadangkan sejak pemerintahan dibawah pimpinan Yang Berhormat Datuk Louis Rampas. Namun, kelulusan permohonan ini hanya diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Musa Aman, Ketua Menteri Sabah, saat kunjungan beliau ke pekan ini pada 6 Mac 2018 yang lalu atas permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu, Yang Berhormat Datuk Joniston L. Bangkuai, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, yang juga merupakan ahli Parlimen Tuaran.
Oleh itu, wujudnya Pejabat Daerah Kecil Kiulu sebagai sebuah pusat pentadbiran bagi penyelaras urustadbir dan pembangunan daerah kecil Kiulu. Pejabat ini mulai beroperasi pada 4 Januari 2021 dan dipimpin awalnya oleh Encik Justin Gindok@Ginduk sebagai Penolong Pegawai Daerah Kecil Kiulu, Encik Cassin Aguh sebagai Penolong Pegawai Tadbir, Encik David Stanislaus Ikot sebagai Pembantu Tadbir Kanan, dan Puan Connie Moliku sebagai Pembantu Operasi. Pejabat Daerah Kecil Kiulu kini semakin berkembang dengan tambahan kakitangan, termasuk Encik Mison Gorob sebagai Pembantu Tadbir Kewangan, Encik Aldey Kangit sebagai Penolong Jurutera, Encik Nazri Jamleh sebagai Penolong Pegawai E-Kasih, Encik Marius Samin sebagai kakitangan lantikan Politik (ADDO), Encik Etengah Ebung sebagai Pembantu Tadbir, dan Encik Alfredrayner Gitom sebagai Pemandu Kenderaan.