18 Zulhijah 1447
Kiulu merupakan sebuah pekan kecil yang berada di bawah daerah Tuaran, Pantai Barat Sabah, Malaysia. Kawasan Kiulu dikenali sebagai tempat kawasan pelancongan di daerah Tuaran kerana terdapat pelbagai tempat pelancongan yang menarik seperti aktiviti berakit air (water rafting activities). Jarak pekan Kiulu ke bandar Kota Kinabalu adalah 47 kilometer manakala jarak pekan Kiulu ke pekan Tuaran adalah 23 kilometer. Pekan Kiulu sudah wujud sejak era- colonial lagi dan juga merupakan sebuah mukim di daerah Tuaran. Berkeluasan 647 kilometer persegi dengan 106 buah kampung adalah merupakan kawasan terbesar dalam Parlimen Tuaran. Permohonan menaiktaraf Kiulu kepada sebuah daerah kecil sudah lama dicadangkan sejak pemerintahan dibawah Pimpinan Yang Berhormat Datuk Louis Rampas. Walau bagaimanapun kelulusan hanya diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Yang Amat Berhormat Tan Sri Musa Aman ketika lawatan kerja beliau ke pekan ini pada 6 Mac 2018 lalu atas permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri Kiulu, Yang Berhormat Datuk Joniston L.Bangkuai dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Yang Berhormat Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, yang juga ahli Parlimen Tuaran. Oleh itu, wujudnya Pejabat Daerah Kecil Kiulu sebagai sebuah Pusat Pentadbiran bagi Penyelerasan Urustadbir dan Pembangunan Daerah Kecil Kiulu yang telah mula beroperasi pada 04 Januari 2021. Pada mulanya diterajui oleh Penolong Pegawai Daerah Kecil Kiulu iaitu Encik Justin Gindok@Ginduk, Penolong Pegawai Tadbir iaitu Encik Cassin Aguh, Pembantu Tadbir Kanan iaitu Encik David Stanislaus Ikot dan seorang Pembantu Operasi iaitu Puan Connie Moliku. Kini dengan ini kadar bilangan kakitangan semakin bertambah dengan adanya Pembantu Tadbir Kewangan iaitu Encik Mison Gorob, Penolong Jurutera iaitu Encik Aldey Kangit, Pembantu Tadbir Iaitu Encik Etengah Bin Ebung, Pegawai Pemantau E-Kasih iaitu Encik Mohammad Nazri Bin Jamleh, Pemandu Kenderaan iaitu Encik Alfredrayner Gitom, seterusnya penambahan seorang kakitangan lantikan Politik (AADO) iaitu Encik Marius Samin.